BLOG TRANSPOLITIK

MUHD NUR IMAN RAMLI
Kok Lanas, Kelantan Darul Naim, Malaysia
Bekas Tutor Sejarah/Sains Politik | Bekas Pegawai Khas Media di Pejabat SUPAR JPM | Guru
View my complete profile

Monday, April 20, 2009

REALITI PROGRAM TV REALITI

Kota Bharu – Apabila syarikat pengurusan artis terkemuka MAESTRO diumum gulung tikar baru-baru ini, ramai yang terkejut besar. MAESTRO yang menaungi artis-artis program realiti terkemuka seperti Mawi akhirnya tunduk kepada realiti sebenar arus dunia hiburan sekarang ini yang sudah semakin suram dan muram. Penjualan album merosot akibat lagu-lagu popular boleh dimuat-turun dengan mudah dan percuma di laman-laman web tertentu.

Jika beli album yang asli, maka harga (mahal) yang dibayar itu juga merangkumi lagu-lagu yang tidak diingini oleh pendengar kerana kurang menyengat. Di internet, percuma sahaja, dan tidak perlu menapak pun ke kedai kaset dan CD. Mereka boleh memilih lagu-lagu yang mereka ingini sahaja.

Namun yang menakjubkannya, anak-anak muda, terutamanya yang Melayu masih berlumba-lumba dan ‘jelira’ hendak jadi penyanyi! Lebih-lebih lagi anak-anak gadis kita yang kemaruk sangat hendak mencipta nama dalam ‘industri’ hiburan tanahair yang dikatakan hanya ilusi itu. Bagaimana hendak jual album ribu-ribu, kalau suara-suara yang ditonjolkan itu sama sahaja dengan penyanyi-penyanyi yang sudah lama ada? Tidakkah itu sesuatu yang membosankan?

Program-program realiti yang bertujuan mencari bakat-bakat baru penyanyi patutnya perlu dikurangkan atau dihentikan dari sekarang, atau kita akan menghadapi lambakan artis-artis muda yang tidak berkualiti, hanya menimbulkan gosip-gosip dan kontroversi, dan menjadikan populariti sementara itu sebagai joran memancing golongan VIP untuk dijadikan batu loncatan mencapai impian-impian tertentu.

Cubalah cari idea lain untuk dijadikan program tv realiti yang lebih berfaedah, menjana minda, membentuk jati diri bangsa dan meningkatkan keyakinan kita pada wujud Tuhan. Bukan hendak jadi orang alim, tetapi anda tidak bosankah melihat promo-promo program realiti nyanyian yang terpekik terlolong, membingitkan telinga?

Wednesday, March 18, 2009

BUDAK KELANTAN, APA CERITA?

Kok Lanas - Saya pernah menetap di kotaraya Kuala Lumpur selama lebih kurang 9 tahun. Sudah puas merasa perit-jerih hidup di kota metropolitan itu, saya dan isteri membuat keputusan kembali ke Kelantan Serambi Mekah, negeri kelahiran saya nan tercinta. Terdetik di hati, mungkin masih ada ketenangan di Kelantan walaupun negeri itu sedang diasak kemajuan.

Bila pulang ke Kelantan, tidak semua perkara kekal seperti mana keadaannya 9 tahun lalu. TESCO sudah tumbuh, KB Mall sudah gah, kedua-duanya seolah menjadi mercutanda Kelantan. Bangunan besar-besar, tinggi-tinggi dan cantik-cantik kini dibina sekitar bandar Kota Bharu Bandaraya Islam.

Saya tidak ada masalah dengan pembangunan begini. Syabas kepada kerajaan negeri dan kerajaan pusat yang berganding bahu membangunkan Kelantan. Cuma saya sedih melihat telatah anak-anak muda Kelantan, 'baik hok jate, hok ttino pong seghupo'.

Kalau dahulu, pelawat dari luar nak masuk Kelantan, terkial-kial malu seraya mencari-cari tudung untuk menutup aurat. Takut malu sama gadis-gadis dan makcik-makcik Kelantan yang bertudung. Tetapi hari ini, anak-anak gadis Kelantan sudah tidak lagi menjadi kebanggaan dalam hal menutup aurat.

Kalau tidak percaya, telusurilah jalan-jalan utama dan kawasan-kawasan tumpuan ramai di Kelantan. Anda akan terkejut sekiranya hal dedah aurat ini lebih ketara di kawasan-kawasan kampung! Anak-anak gadis menunggang motor dengan baju singkat dan seluar terlondeh, ada yang tidak pakai tudung, dan ada juga yang seksi tapi bertudung! Hebat! (Gambar di atas hanyalah hiasan blog semata).

Hendak lagi hebat, sila berkunjung ke KB Mall setiap hujung minggu. Entah dari mana timbulnya kaum Gothic muda-mudi di Kelantan ini. Seingat saya, kaum Goth (baik Visigoth atau Ostrogoth) hanya wujud di Jerman/Eropah sekitar kurun ke-14 dan 15. Golongan Goth di KB Mall ini sangat menarik dan ranggi pakaiannya, mekapnya. Tetapi yang saya tabik, loghat Kelantannya tetap dipertuturkan. Bukankah itu sesuatu yang hebat tatkala PPSMI menjadi satu isu di Malaysia? Begini baru glokal!

Itu baru berpakaian, belum sentuh soal rempit lagi. Di Kelantan, aktiviti ini sudah capai tahap serius. Siapa tidak rempit, tergolong dalam golongan yang, meminjam bahasa Kelantan, tidak 'biso' (hebat) dan juga 'sumbat' (lemah, dungu, nerdy).

Entah di mana silapnya. Barangkali penguatkuasaan kod berpakaian sudah longgar sangat, tidak seperti dulu. Dahulu, ada penguatkuasa yang memantau perkara ini, jadi muda-mudi Kelantan mungkin segan silu untuk tunjuk berani (daring) dengan fesyen pelik-pelik.

Mana perginya penguatkuasaan tersebut? Barangkali, hendak menjaga hati pengundi-pengundi muda tempatan, maka dilonggarkan penguatkuasaan itu. Benarkah begitu? Harapnya bukan begitulah. Sahabat-sahabat kita seperti saudara Farish Noor mungkin tidak bersetuju dengan pendapat saya. Tapi biarlah Kelantan, satu negeri ini sahaja di Malaysia, kekal seperti adanya 10 tahun dahulu. Pembangunan itu OK, tetapi pendapat saya ini, yang mungkin dikongsi oleh ibubapa Kelantan lain perlu diambil perhatian. Kelantan sahaja. Kelantan sahaja..

Pihak berkenaan, silalah ambil perhatian.

Friday, February 20, 2009

PERAK OH PERAK!

Kok Lanas - Apa yang berlaku dalam politik Perak hari ini amat memeningkan kepala orang Melayu. Buka sahaja akhbar-akhbar harian, pasti ada isu Perak. Orang Melayu sebenarnya terhimpit dalam segenap segi dan sudut dalam politik Perak. Saya amat bersimpati dengan bekas MB Datuk Seri Nizar. Pada pendapat saya, ada baiknya Datuk Seri mengambil langkah keluar dari kemelut ini dengan menerima perlantikan Dr. Zambry.

Kita tidak mahu lagi melihat Datuk Seri Nizar sebagai seorang Melayu dan Muslim diletakkan dalam situasi yang menyepitnya. Semua tahu, Datuk Seri Nizar berada dalam situasi sukar sebagai MB kerana MB de facto adalah dari DAP. Barangkali, sudah tiba masanya Datuk Nizar memikirkan dirinya sendiri setelah melakukan yang terbaik untuk semua di Perak sebagai MB selama 11 bulan ini. Berhentilah memberi tekanan kepada Datuk Seri Nizar. Kepada Datuk Dr. Zambry, perjalanan perjuangan baru bermula. Semoga berjaya, dan sebagai graduan UIA, saya ucapkan sekalung tahniah kerana telah mengharumkan nama UIA.

AL-QAEDAH YANG DUNGU


Kok Lanas - Saya tidak dapat membendung kemarahan apabila mengikuti laporan berita mengenai orang nombor 2 rangkaian pengganas al-Qaedah, Ayman al-Zawahiri yang menyelar Presiden baru AS, Barack Hussein Obama kerana Obama tidak menyentuh sedikit pun isu Gaza dalam ucapan pengisytiharan Presiden itu Januari lalu. Bukan kerana saya ini seorang peminat Obama, tetapi kenyataan Zawahiri itu menunjukkan sikap paling buruk seorang Muslim yang tersasar dari perjuangan asal jihad. Ianya satu pendapat yang amat memalukan. Lebih bersifat menyimbah minyak ke atas api, Zawahiri kelihatan ingin membangkitkan kemarahan AS.

Isu Gaza sepatutnya digalas secara serius atau diletakkan di atas bahu setiap pemimpin negara Islam. Isu Gaza bukan isu yang perlu digalas Obama. Sejak bila isu Ummah diletakkan di atas pundak seorang pemimpin negara bukan Islam, yang juga telah keluar Islam? Pak-pak Arab buat apa?

Saya tidak senang dengan kewujudan al-Qaedah, dan tidak tahu sampai bila Ummah akan terpedaya dengan entiti bernama al-Qaedah yang kononnya hero Ummah ini. Bagi saya, al-Qaedah (dan Taliban) adalah tidak lebih dari produk-produk seperti Nike, McDonalds, KFC ciptaan AS. Pentagon dan seluruh agen perisikan AS gagal mengesan Osama Ben Laden sejak bertahun lamanya; bukankan itu satu lelucon?

Saturday, November 8, 2008

RAISA EL-ZAHRA BT. M.N. IMAN

Gambar cahayamata saya yang pertama untuk tatapan Uncles & Aunties yang jauh di KL dan lain-lain tempat di Malaysia. Terima kasih atas ucapan tahniah dari sahabat-sahabat semua.

Maksud Raisa:
1. Arab: Ketua (Raeesah)
2. Yiddish [Yahudi Eropah] (Mawar)
3. Russia (Kegembiraan)
EL : Terinspirasi dari nama sahabat Ahmad El-Muhammady
Zahra' : Bunga, Suci

Saturday, September 20, 2008

KERAJAAN 16 SEPTEMBER TAK MENJADI; JADI?


Kok Lanas – Peralihan kerajaan daripada kerajaan BN ke kerajaan Pakatan Rakyat yang dicanang bekas Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim akan berlaku pada tanggal 16 September 2008 nampaknya tidak menjadi. Jadi, adakah ianya akan terjadi? Akhbar-akhbar utama menyelar DSAI sebagai pembohong dan “Mat Jenin” pada keesokan harinya (17 September) atas cita-citanya yang ingin menjadi Perdana Menteri. Apa-apa pun, semua pihak, baik pembangkang mahupun kerajaan sendiri teruja menantikan tanggal 16 September.

Mungkin ramai antara kita terfikir, adakah pertukaran kerajaan seperti itu akan menyelesaikan masalah yang ‘bersepah-sepah’ kini? PAS sebagai anggota Pakatan Rakyat ternyata sudah tidak selesa dengan idea kerajaan baru yang sudah pasti bercanggah dengan prinsip-prinsip perjuangan Islamnya. Pastinya, PAS dan DAP tidak mampu mencapai kata sepakat dalam isu-isu melibatkan agama Islam dan ketuanan Melayu. Dalam isu Islam dan Melayu, PAS lebih cocok dengan UMNO.

Isu DAP ini terlalu rumit, serumit isu perkauman itu sendiri. DAP banyak sangat bermain api. PAS kelihatan tersepit dengan kedudukannya dalam Pakatan. Apa kata PAS bergabung dengan UMNO? Apa salahnya, bukan tidak pernah berlaku. Kerajaan 16 September itu kedengaran agak lunak, tapi stabilkah kerajaan yang bakal dianggotai parti-parti yang memperjuangkan prinsip-prinsip yang amat berlainan itu? Mampukah penasihat PKR menunaikan janjinya kepada PAS dan DAP? Saya nampak ada percanggahan kepentingan di situ. Pandai-pandailah Dato’ Seri Anwar nanti.

Mungkin bagi rakyat yang bukannya ‘peminat terbesar’ pimpinan negara sekarang, baik dari parti pembangkang mahupun dari parti pemerintah sendiri, kerajaan 16 September mungkin ditunggu-tunggu; dengan perasaan yang bercampur-baur.

“KEGAGALAN” SARAT UNSUR THEOLOGI DAN POLITIK

Kok Lanas – Saya amat teruja apabila membaca blog sahabat saya, saudara Syuhairi Shahuddin. Syuhairi yang lebih popular sebagai “Sean” di kalangan sahabat handai di UIAM, seingat saya bukanlah seorang yang suka bersajak atau berjiwa penyajak. Namun, kehadiran sajak nukilan beliau di dalam blognya baru-baru ini membuatkan saya terkejut dan kagum. Barangkali, angin bersih Bumi Kenyalang dan perasaan berjauhan dari kampung halaman telah menyegarkan dan menjana sisi puitis mindanya. Anjakan ini merupakan sesuatu yang amat baik dan saya menyokong usaha sahabat saya ini untuk lebih banyak berkarya. Syabas buat saudara Syuhairi yang telah menghasilkan sebuah puisi yang berunsur theologikal dan politikal. Untuk membaca nukilan beliau, sila klik di atas grafik di bawah. Atau lawati laman blog beliau di http://seanshahuddin.blog.friendster.com/ Terima kasih.